Wednesday, June 25, 2014

Detik Cemas Seorang Ustazah Setelah Kereta Dan 2 Anak Dilarikan Pelajar Sekolah

Detik cemas seorang Ustazah, kereta dan anak di larikan - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan adiknya tiga bulan yang dibawa lari bersama kereta Proton Gen 2 di Puchong Perdana, 7 pagi tadi ditemui selamat.
Kanak-kanak itu ditemui seorang pekerja kilang berusia 58 tahun selepas ternampak mangsa sedang berjalan sambil mendukung adiknya di kawasan perindustrian Puchong Jaya iaitu lima kilometer dari lokasi dia dilarikan.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli, kejadian berlaku ketika si ibu menghantar abang dan kakak mangsa ke rumah pengasuh dan meninggalkan kereta dengan enjin tidak dimatikan.

Ketika itu suspek masuk ke dalam kereta dan membawa lari kedua-dua mangsa yang berada di dalam kereta terbabit. Suspek turut mengacukan pisau kepada mangsa, katanya.
Polis masih menjejaki suspek dipercayai seorang remaja lelaki memakai pakaian seragam sekolah yang membawa lari kereta berkenaan dengan nombor pendaftaran WLF4727 Proton Gen 2 berwarna biru. 
HM

DIHUKUM MATI: INI JAWAPAN DR. MOHAMMED BADIE KEPADA HAKIM

Semasa perbicaran semalam, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Dr Mohammed Badie yang dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah tentera, mengeluarkan kata-kata yang cukup memberi inspirasi kepada pejuang agama Allah.
Dalam satu kenyataan kepada hakim, pemimpin berusia 71 tahun itu berkata hukuman mati sedikitpun tidak menakutkan beliau, tetapi beliau cuma kecewa kerana tiada lagi keadilan di bumi Mesir.
"Hukuman mati tidak menakutkan saya. Saya tidak takut menghabiskan seluruh hidup saya di penjara. Jihad terbaik adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim.
"Saya mengadu kepada Allah tentang tiada lagi keadilan. Saya bertukar dari mangsa kepada tertuduh di bawah rejim rampasan kuasa tentera."
Anak lelaki saya, Ammar dibunuh dan kejadian itu tidak pula pernah disiasat atau dibawa ke mahkamah mereka yang bertanggungjawab untuk jenayah itu," katanya dipetik Ikhwanweb.com.
Mohammed Badie dijatuhkan hukuman mati dalam satu perbicaraan tanpa kehadiran beliau dan tidak diberi peluang untuk membela diri.
"Ini adalah ibu segala ketidakadilan, terutamanya apabila pendakwa mengenakan tuduhan rekaan kepada saya dan tertuduh yang lain," katanya lagi.
Mohammed Badie dituduh menyerang dan membakar ibu pejabat polis Odoua di wilayah Minya, serta membunuh seorang anggota polis pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun ketika kejadian, Mohammed Badie dikatakan berada di Kaherah dan bukannya di Minya.
Sehingga kini 1,100 penyokong Presiden Dr Mohamad Morsi telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah dibawah rejim rampasan kuasa Mesir.

- HARAKAHDAILY, 24/6/2014

Tuesday, June 24, 2014

DAMAILAH KAU DI SANA

ALMARHUM USTAZ ABU BAKAR CHIK: DIA MURABBI, PEMIMPIN, TEMAN YANG BAIK
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Pagi yang indah ini , aku terasa longlai tak bermaya dengan berita yang menyentap tangkai hati, kepulangan ke alam abadi sosok pejuang kental dari negeri Tok Ku Paloh, almarhum Ustaz Dato Abu Bakar Chik. Terbayang lebih dua dekad menjadi anak didiknya semenjak zaman kampus , memasuki Dewan Pemuda, saya sempat dua kali menghadiri mesyuarat pemuda Pusat ketika beliau memimpin Dewan itu, seterusnya bersama almarhum dalam Pas Pusat. Berusrah bersama almarhum semenjak zaman 'anak muda kail sejengkal' saya sehingga melepaskan zaman pemuda yang serba indah. Terbayang renungan matanya yang tajam dan kesungguhan almarhum bila berbicara, dakapan tubuhnya setiap kali bersua termasuk arahan demi arahan untuk memastikan jamaah ini tidak kontang daripada amal tarbawi.
Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Hj Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangaat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.
Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.
Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda Pas Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke 13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.
Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Saya teringat almarhum menemankan saya makan tengahari usai,program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah,membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekanda saya, ustaz ABC. Saya tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.
Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abj Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.
Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak -anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang , menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.
Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya , Dato Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90an, menggelarkannya secara diam "alfatihah",kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Alfatihah buat maestro perjuangan , kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.