Friday, May 22, 2015

JOM SAMA-SAMA MELABUR UNTUK AKHIRAT - INFAQ RAMADHAN

PELABURAN JANGKA PANJANG HINGGA KE AKHIRAT
Sesiapa yang ingin bersedekah untuk infaq Ramadhan dalam apa juga bentuk barangan, duit dan sebagainya untuk PAS Kawasan Bukit Katil salurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik boleh hubungi 0196821318 / 0193978488 atau 06-267 2239 (waktu pejabat).
Infak boleh juga disalurkan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) nombor akaun 04015010048965 atas nama PAS KAWASAN BUKIT KATIL. Sila maklumkan masa dan jumlah kepada kami selepas bank in. Jazakallahu Khairan Kathira

Sunday, May 17, 2015

PAS BUKIT KATIL GESA DUNIA ISLAM DAN MALAYSIA BANTU PELARIAN ROHINGYA

PAS Kawasan Bukit Kawasan mengutuk sekeras-kerasnya hukuman bunuh ke atas Dr Mohamad Morsi oleh Mahkamah Regim Al Sisi Mesir.
PAS Kawasan juga menggesa pemimpin dunia Islam dan Kerajaan Malaysia mengutuk tindakan zalim kerajaan zalim Mesir dan seterusnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Regim zalim tersebut.
Begitu juga dengan isu saudara-saudara kita kaum Rohingya dari Myammar yang dizalimi, PAS Kawasan Bukit Katil menggesa dunia Islam khususnya Kerajaan Malaysia membantu dan berusaha untuk menyelamatkan mereka dengan memberikan perlindungan atas rasa tanggungjawab sesama Islam dan kemanusiaan.
Tindakan bacul kerajaan negara umat Islam khususnya Malaysia yang tidak memberikan perlindungan kepada pelarian Rohingya merupakan suatu malapetaka kepada umat Islam seluruh dunia.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

SELEPAS 2 TAHUN BERKHIDMAT ADUN BUKIT BARU, YB DR KHALID TERUS CEMERLANG

Pada 5 Mei 2013, PAS Melaka mencipta sejarah apabila berjaya memenangi satu Dun pada PRU 13. Lebih manis lagi Dun yang dimenangi itu terletak di dalam Kawasan saya, Bukit Katil. Kemenangan di Dun Bukit Baru merupakan kemenangan yang sangat manis bagi kami di Melaka setelah menunggu dengan begitu lama akhirnya 'anak sulung' yang diidamkan oleh Almarhum Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman berjaya dilahirkan.
Kini setelah 2 tahun kami menang Adun kami membuktikan bahawa Wakil Rakyat PAS mampu memberikan perkhidmatan terbaik walaupun dinafikan sebarang peruntukan oleh kerajaan.
Jadi bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan cemerlang yang diberikan oleh YB Dr Hj Md Khalid Kassim, saudara-saudari dijemput untuk sama-sama memberikan apa juga bentuk sumbangan dari segi wang ringgit, tenaga dan idea. Anda boleh menghubungi talian 0196821318 untuk sebarang pertanyaan dan urusan penyaluran sumbangan.
Alhamdulillah hari ini kami selesai mengadakan Retreat Sekretariat Dun Bukit Baru di Kluang, Johor.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

Gambar atas YB Dr Khalid sedang menyampaikan ucapan penggulungan dalam retreat tersebut.

Monday, December 15, 2014

TUKAR KERAJAAN UNTUK SELAMATKAN NEGARA DARI BANGKRAP

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Rosli Yaakob berkata rakyat negara ini mesti menukar kerajaan pada PRU14 nanti bagi memastikan negara tidak bangkrap.

Beliau hutang negara yang sudah menjangkau lebih RM500bilion menggambarkan betapa seriusnya masalah negara kita.

"Kerajaan mesti 'mengempiskan perut' dan 'mengikat tali pinggang bagi mengurangkan perbelanjaan yang boros dan membazir yang mengakibatkan hutang negara meningkat sehingga mencecah lebih RM500bilion sekarang. 

"Jika mereka tidak mengempiskan perut dan mengikat tali pinggang, hutang Malaysia dijangka meningkat menjadi RM1.3 trilion pada tahun 2020". 

"Sikap boros, membazir, rasuah serta membiarkan ketirisan menjadi penyebab kepada hutang negara yang semakin meningkat"ujar Dr Rosli. 

Beliau berkata sehingga kini sudah 16 tahun berturut-turut bajet Malaysia mengalami defisit, iaitu pendapatan kurang dari perbelanjaan. 

"Contohnya dalam sebuah rumah, katakan pendapatan RM2000, tetapi perbelanjaan RM2500, jadi tiap-tiap bulan mereka berhutang RM500 untuk menampung perbelajaan. Sama juga dengan negara kita, pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan akibat boros dan membazir." 

"Bila pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan, kerajaan mula memikirkan untuk menambah hasil pendapatan negara dengan mengenakan cukai GST yang menekan rakyat." 

Dr Rosli berkata GST dikenakan kepada semua lapisan rakyat tidak kira orang kaya, peminta sedekah dan fakir miskin. 

"Sesiapa juga yang membeli barang keperluan dan perkhidmatan yang dikenakan GST sudah tentu terpaksa membayar GST." 

"Memang GST dikenakan kepada beras dan sebagainya tetapi jika kita makan di restoran atau kedai mamak, sudah tentu kita akan kena bayar GST". tambah beliau.

Menurutnya, para pekedai dan peniaga boleh mendapat balik cukai GST yang dibayar dari kerajaan, tetapi rakyat terbanyak tidak dapat bayaran balik dan merekalah yang paling teraniaya. 

"Harga barangan sudah tentu akan naik dan rakyatlah yang terpaksa berbelanja lebih akibat kenaikan harga barang"ujar Dr Rosli. 

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya membuat perubahan bagi menyelamatkan negara kita yang tercinta ini. 

"Jika pemimpin negara dan kerajaan tidak ditukar,sudah pasti Malaysia akan bangkrap dan rakyat akan bertambah sengsara" ujar beliau. 

"Sekarang ini hutang negara sudah melebihi 55 % dari jumlah pendapatan dan kadar ini membuktikan bahawa negara berada di ambang muflis seperti yang dialami oleh Greece." 

Menurutnya hanya ada satu jalan sahaja untuk menyelamatkan negara dari bangkrap iaitu denga menukar kerajaan pada PRU14 nanti. 

Beliau berkata demikian pada ceramah umum anjuran Jentera Pilihanraya Dun Ayer Molek dan PAS Kawasan Ayer Molek di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di Pekan Ayer Molek malam Sabtu lalu. 

Selain Dr Rosli Yaakob, turut berceramah bersamanya ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Amiruddin Shari.

Friday, December 12, 2014

CERAMAH UMUM DI PEJABAT PAS KAWASAN 13 DIS

Jentera Pilihanraya Dun Ayer Molek (JPrD) dan PAS Kawasan Bukit Katil akan menganjurkan Ceramah Umum yang akan disampaikan Pengarang Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakob, YB Dr Khalid, YB Shamsul Iskandar dan YB Khoo Poay Tiong pada 13 Disember ini. 

Program ini akan berlangsung di Perkarangan Pejabat PAS Kawasan di Taman Desa Molek, Ayer Molek bermula jam 9.00 malam. 
Ceramah ini dijangka menarik kerana penceramah akan mengupas isu-isu semasa yang menarik antaranya GST, kenaikan harga barangan, kegawatan ekonomi dan sebagainya.


BANGUNAN TAMBAHAN PEJABAT PAS KAWASAN HAMPIR SIAP

Bangunan tambahan PAS Kawasan Bukit Katil di Taman Desa Molek hampir siap. Bangunan tambahan tersebut yang terdiri dari sebuah kedai di tingkat bawah dan dewan serbaguna di bahagian atas dijangka siap dalam masa 3 bulan lagi.

Apabila siap nanti bahagian bawah akan disewakan manakala tingkat atas akan digunakan untuk kegiatan jemaah pelbagai peringkat.

Friday, October 17, 2014

TUAN GURU DATO HARON DIN LAWAT MELAKA 19 OKTOBER


Timbalan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Haron Din akan melawat Melaka bagi merasmikan bangunan baru Sekolah Rendah Islam Al Rahmah di Solok Gaong pada 19 Oktober 2014.


Beliau yang merupakan penaung kepada Madrasah Al Rahmah akan tiba pada jam 12.00 tengahari bagi upacara perasmian tersebut.

Seluruh muslimin dan muslimat dijemput hadir. 

Thursday, September 4, 2014

PAS KAWASAN SELAR PORTAL MEDIA INTERNET


PAS Kawasan Bukit Katil menyelar tindakan media yang mensensasikan berita-berita yang samar dan tidak datang dari sumber yang sahih. Terbaru Portal Star Online versi Bahasa Malaysia melaporkan bahawa PAS menghantar 3 nama Exco PAS sebagai calon Menteri Besar Selangor kepada Sultan Selangor. Star Online melaporkan berita tersebut dengan tajuk Hadi mahu PAS MB Selangor (://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2014/09/04/hadi-mahu-pas-mb-selangor'.)

Selepas itu laporan itu disiarkan pula oleh Malaysiakini dengan tajuk 'Hadi nominates 3 PAS Excos for MB Post' (http://www.malaysiakini.com/news/273621).

Tindakan kedua-dua portal berita ini merupakan suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan boleh mengelirukan orang ramai. Walaupun tajuknya dibuat menggunakan tanda soal namun ia mungkin disalahtafsir oleh pembaca yang rata-rata menggunakan sumber portal internet sebagai rujukan berita mereka.

Sebagai sebuah media yang dikatakan mahukan kebebasan media, mereka mesti bertanggungjawab dan meneliti setiap berita agar ianya merupakan berita yang sah dan datang dari sumber yang sahih bukannya dari sumber-sumber yang samar dan tidak rasmi.

Kita bimbang jika portal-portal menjadi pencacai kepada musuh-musuh politik PR yang sentiasa mencari peluang untuk memecahbelahkan PR sejak dari dahulu lagi.

Jangan ulangi kesilapan media arus perdana yang dikuasai kerajaan BN yang sengaja mensensasikan berita-berita yang melibatkan PR bagi memburuk-burukkan PR di mata rakyat. Portal berita internet mesti mengekalkan rekod mereka yang dikatakan bersih dan bebas.

PAS Kawasan Bukit Katil dengan ini mengharapkan portal-portal berita internet memohon maaf kepada seluruh pemimpin dan penyokong PR khususnya PAS yang terguris dengan tindakan mutakhir media-media yang menyiarkan laporan yang mengelirukan. 

Kepada pemimpin dan penyokong PR berhati-hatilah jangan sekali-kali kita percaya bulat-bulat segala laporan yang dibuat oleh media-media yang ada disekeliling kita. Kita mesti membuat semakan kepada sumber-sumber sahih demi kesejahteraan dan keharmonian kita semua.

Mari sama-sama kita berganding bahu memurnikan media di negara kita agar rakyat memperolehi berita-berita yang sahih dan tepat. Jangan kita memikirkan keutungan dan populariti sahaja sehingga membelakangkan etika kewartawanan.

Mohd Sofi Abdul Wahab (http://www.facebook.com/sofiwahabpj9)
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil 

Monday, August 25, 2014

PAS KAWASAN UCAP TAHNIAH PADA PRESIDEN

PAS Kawasan Bukit Katil merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas perlantikan beliau sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Dunia baru-baru ini.

Sesungguhnya perlantikan ini merupakan suatu pengiktirafan kepada beliau dan PAS di atas sumbangan yang diberikan kepada dunia Islam dan dunia amnya.

Semoga Tuan Guru terus sihat dan mendapat rahmat dari Allah untuk terus memimpin PAS dan dunia Islam.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN BUKIT KATIL BERJALAN LANCAR

Bukit Katil : Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bukit Katil kali ke 11 berjalan lancar Sabtu lalu. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, YB Hj Aminolhuda Hassan yang juga merupakan Adun Parti Yaani.

Dalam ucapan Aminolhuda mengingat ahli PAS supaya sentiasa peka kepada situasi sekeliling bagi memastikan PAS tetap relevan dan berada di mana sahaja.

"Ahli PAS mesti peka, sensitif dan sentiasa bersedia untuk menangani isu-isu rakyat dan membantu mereka."

"Kita juga mesti melaksanakan tugas dengan komited, melakukan perancangan yang baik dan bekerja dalam satu pasukan" ujar beliau.

Aminolhuda juga mengingatkan ahli PAS khususnya di Bukit Baru supaya membantu Adun tunggal PAS iaitu YB Dr Khalid Kassim dengan semaksima mungkin bagi memastikan beliau dapat berperanan dan menjadi model kepada Dun lain.

"YB tidak boleh buat kerja seorang, tak larat, kita semua kena bantu dalam apa segi sekalipun, banyak tugas YB yang memerlukan sokongan dan dokongan kita semua" tambah beliau.

Pada mesyuarat agung kali ini Cawangan Kg Bukit Bayan diisytiharkan sebagai cawangan terbaik. Antara kriteria pemilihan cawangan terbaik ialah berjaya menguruskan PASTI, jumlah keahlian baru yang ramai, ada pejabat atau markas, berjaya mengadakan ceramah, usrah, kuliah, tazkirah, program kebajikan dan sebagainya.

Sementara itu perwakilan dari cawangan-cawangan PAS dalam kawasan Bukit Katil mengucap tahniah kepada panitia mesyuarat agung kerana berjaya menceriakan mesyuarat kali ini dengan pentas yang cantik, suasana yang kondusif, ada beg perwakilan, tanda nama cawangan dan AJK Kawasan, perjalanan yang lancar dan lain-lain.

"Biasalah ada kekurangan di sana-sini kita boleh perbaiki pada masa hadapan" ujar perwakilan dari sebuah cawangan yang tidak mahu namanya disenaraikan.

Mesyuarat agung kali ini diadakan di Kompleks PAS Bukit Katil.

Gambar atas sekali : Saf kepimpinan PAS Kawasan
Gambar tengah : YDP menyampaikan cenderahati kepada perasmi
Gambar bawah sekali : YDP menyampaikan cenderahati kepada pemenang anugerah cawangan terbaik 2013/2014.


Wednesday, August 20, 2014

JEMPUTAN HADIRI MESYUARAT AGUNG PAS BUKIT KATI 23 OGOS

Tuan-puan dijemput untuk menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bukit Katil pada Sabtu 23 Ogos 2014 jam 9.00 pagi bertempat di Kompleks PAS Bukit Katil. Perasmian oleh Naib Presiden PAS, Dato' Haji Husam Musa.

Insya Allah Dato Husam akan menyampaikan pandangan beliau tentang halatuju PAS dan PR pasca krisis perlantikan MB Selangor yang masih belum berakhir.



Sila sebarkan kepada pencinta politik untuk sama-sama hadir memeriahkan majlis tersebut.

KEMALANGAN MRT : PIHAK BERWAJIB TAK AMBIL IKTIBAR

Projek MRT sekali lagi dilanda masalah yang sangat serius sehingga mengorbankan nyawa. Kali ini kemalangannya amat kronik dan tragis. Kemalangan yang meragut 3 pekerja yang terperangkap di bawah timbunan konkrit di Kota Damansara merupakan kejadian kemalangan yang kedua setelah kemalangan pertama pada bulan Jun lepas. Kemalangan demi kemalangan membuktikan kepada kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena mengenai projek ini. 

Insiden-insiden kemalangan ini berpunca daripada sikap tergesa-gesa Kerajaan Persekutuan dan Jabatan terbabit yang seolah-olah tidak menjalankan kajian terperinci sebelum projek ini dilaksanakan di samping masalah pemantauan dan penguatkuasaan yang meragukan. 

Pihak berwajib kelihatan tidak mengambil iktibar kemalangan yang berlaku pada bulan Jun yang lepas dengan membiarkan kontraktor utama GAMUDA-MMC mengambil tindakan yang agak lembut apabila sekadar memberhentikan sub-kontraktor yang terlibat sahaja.

PAS Kawasan Bukit Katil mendesak Kerajaan Persekutuan untuk segera menghentikan kerja-kerja pembinaan projek  dan ianya tidak boleh disambung semula selagi tiada jaminan ianya selamat. Apa kita ingin memperjudikan nyawa orang awam dan pekerja. 

Pakar-pakar yang bertauliah dan berautoriti mesti diambil bagi menjalankan kajian terperinci tentang aspek-aspek keselamatan dan sebagainya. Kita bimbang peristiwa tragis ini akan berulang lagi. 

Sementara SAMM dalam kenyataannya kepada media menyesali sikap Kerajaan Persekutuan terus berlembut dengan konglomerat GAMUDA-MMC walapun telah beberapa kali insiden-insiden malang berlaku di kawasan pembinaan MRT. Adakah hal ini kerana kontraktor utama projek ini mempunyai pertalian rapat dengan Putrajaya hingga segala kelemahan dan insiden ini hanya dipandang sebelah mata oleh Putrajaya.

"Kegagalan dan siri kemalangan ini juga menunjukkan Menteri Kerja Raya sekarang ini begitu lemah dalam memastikan keselamatan projek-projek prasarana yang sedang dibina di ibu kota ketika ini." ujar Jurucakap SAMM.

Justeru, SAMM Wilayah Persekutuan menyeru Perdana Menteri untuk menggantikan Menteri Kerja Raya dengan seorang individu yang mempunyai ketegasan dan kemampuan dalam memastikan projek-projek prasarana yang sedang dibina tidak menjadi mesin mencabut nyawa pekerja dan orang ramai.

Gambar sekadar hiasan.

Thursday, July 10, 2014

CERAMAH BADAR QUBRA AHLI PARLIMEN MESIR 13 JULAI

IFTAR dan CERAMAH BADAR AL QUBRA

Penceramah : Sheikh Amir Abdul Rehim Mahmoud Ali
Ahli Parlimen Mesir
Perkarangan Pejabat PAS Bukit Bayan
Masa : 7.15 mlm

Wednesday, June 25, 2014

Detik Cemas Seorang Ustazah Setelah Kereta Dan 2 Anak Dilarikan Pelajar Sekolah

Detik cemas seorang Ustazah, kereta dan anak di larikan - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dan adiknya tiga bulan yang dibawa lari bersama kereta Proton Gen 2 di Puchong Perdana, 7 pagi tadi ditemui selamat.
Kanak-kanak itu ditemui seorang pekerja kilang berusia 58 tahun selepas ternampak mangsa sedang berjalan sambil mendukung adiknya di kawasan perindustrian Puchong Jaya iaitu lima kilometer dari lokasi dia dilarikan.
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli, kejadian berlaku ketika si ibu menghantar abang dan kakak mangsa ke rumah pengasuh dan meninggalkan kereta dengan enjin tidak dimatikan.

Ketika itu suspek masuk ke dalam kereta dan membawa lari kedua-dua mangsa yang berada di dalam kereta terbabit. Suspek turut mengacukan pisau kepada mangsa, katanya.
Polis masih menjejaki suspek dipercayai seorang remaja lelaki memakai pakaian seragam sekolah yang membawa lari kereta berkenaan dengan nombor pendaftaran WLF4727 Proton Gen 2 berwarna biru. 
HM

DIHUKUM MATI: INI JAWAPAN DR. MOHAMMED BADIE KEPADA HAKIM

Semasa perbicaran semalam, Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Dr Mohammed Badie yang dijatuhkan hukuman mati oleh sebuah mahkamah tentera, mengeluarkan kata-kata yang cukup memberi inspirasi kepada pejuang agama Allah.
Dalam satu kenyataan kepada hakim, pemimpin berusia 71 tahun itu berkata hukuman mati sedikitpun tidak menakutkan beliau, tetapi beliau cuma kecewa kerana tiada lagi keadilan di bumi Mesir.
"Hukuman mati tidak menakutkan saya. Saya tidak takut menghabiskan seluruh hidup saya di penjara. Jihad terbaik adalah berkata benar dihadapan pemerintah yang zalim.
"Saya mengadu kepada Allah tentang tiada lagi keadilan. Saya bertukar dari mangsa kepada tertuduh di bawah rejim rampasan kuasa tentera."
Anak lelaki saya, Ammar dibunuh dan kejadian itu tidak pula pernah disiasat atau dibawa ke mahkamah mereka yang bertanggungjawab untuk jenayah itu," katanya dipetik Ikhwanweb.com.
Mohammed Badie dijatuhkan hukuman mati dalam satu perbicaraan tanpa kehadiran beliau dan tidak diberi peluang untuk membela diri.
"Ini adalah ibu segala ketidakadilan, terutamanya apabila pendakwa mengenakan tuduhan rekaan kepada saya dan tertuduh yang lain," katanya lagi.
Mohammed Badie dituduh menyerang dan membakar ibu pejabat polis Odoua di wilayah Minya, serta membunuh seorang anggota polis pada Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun ketika kejadian, Mohammed Badie dikatakan berada di Kaherah dan bukannya di Minya.
Sehingga kini 1,100 penyokong Presiden Dr Mohamad Morsi telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah dibawah rejim rampasan kuasa Mesir.

- HARAKAHDAILY, 24/6/2014

Tuesday, June 24, 2014

DAMAILAH KAU DI SANA

ALMARHUM USTAZ ABU BAKAR CHIK: DIA MURABBI, PEMIMPIN, TEMAN YANG BAIK
Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Pagi yang indah ini , aku terasa longlai tak bermaya dengan berita yang menyentap tangkai hati, kepulangan ke alam abadi sosok pejuang kental dari negeri Tok Ku Paloh, almarhum Ustaz Dato Abu Bakar Chik. Terbayang lebih dua dekad menjadi anak didiknya semenjak zaman kampus , memasuki Dewan Pemuda, saya sempat dua kali menghadiri mesyuarat pemuda Pusat ketika beliau memimpin Dewan itu, seterusnya bersama almarhum dalam Pas Pusat. Berusrah bersama almarhum semenjak zaman 'anak muda kail sejengkal' saya sehingga melepaskan zaman pemuda yang serba indah. Terbayang renungan matanya yang tajam dan kesungguhan almarhum bila berbicara, dakapan tubuhnya setiap kali bersua termasuk arahan demi arahan untuk memastikan jamaah ini tidak kontang daripada amal tarbawi.
Tokoh ini bukan kepalang iltizamnya dengan perjuangan Islam semenjak zaman remaja, menjadi nukleus awal ABIM di Terengganu dalam dekad 70an bersama Dr Abu Bakar Abdullah, Hj Husien Ismail, Cikgu Sapinah Jusoh, dan lain-lain anak muda berjiwa Islam yang sedang dibius semangaat kebangkitan Islam. Beliau dan teman-temannya telah menubuhkan Institut Berakan, sebuah sekolah tajnid yang menawarkan pendidikan kepada anak-anak remaja di pinggir bandar Kuala Terengganu. Pusat kaderisasi dakwah itu akhirnya dirobohkan oleh regim BN pada tahun 1991. Beliau dan teman-temannya dengan pantas mendirikan semula wadah pendidikan ummah ini, kini kompleks MTT Tok Jiring yang bersebelahan dengan kediamannya adalah salah satu mercu tanda pendidikan Islam di Terengganu.
Almarhum menjadi pemimpin PMUKM semasa mencicip ilmu di kampus Bangi itu, bergraduat dengan Ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Pengajian Islam. Pernah juga bermukim ilmu di Universiti Islam di Sudan dalam bidang Bahasa Arab (1995-1996) dan juga sebuah Universiti di Amerika Syarikat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1987 sehingga 1988kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah berhenti, termasuk mengarang banyak kertas kerja pembinaan jamaah dan juga buku-buku untuk mencerahkan ahli tentang tasawwur perjuangan Islam.
Beliau menyertai PAS dalam tahun 1981, seterusnya bertanding dalam PRU 1982 dan memenangi DUN Jeram. Ikon anak muda Malaysia ini, yang juga ketua Pemuda Pas Terengganu itu ditahan di khemah politik ISA, mendekam di Kamunting selama dua tahun pada tahun 1984. Sekali lagi namanya mencuat untuk ditahan dalam operasi Lalang pada tahun 1987. Almarhum menjadi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat yang ke 13, mengasaskan banyak institusi semasa membahterai pemuda termasuk Jabatan Pelajar, PASTI, JKS, SRIP dan pelbagai lagi.
Ustaz menang kali kedua dalam PRU tahun 1999 di DUN Batu Rakit, seterusnya dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu dan memegang Potfolio Pertanian. Beliau tak kering idea, bak sumur jernih yang sentiasa mengalir, mendamaikan sukma. Saya teringat almarhum menemankan saya makan tengahari usai,program Seminar Gejala Sosial di MTT Tok Jiring, anjuran Itqanul Muluk, sebuah badan pemikir yang almarhum sendiri asaskan. Lontaran idea beliau untuk menjadikan parti Islam sebagai wadah intelektual ummah,membaca unjuran strategik perjuangan Islam di negara ini seolah-olah beliau masih memimpin Dewan Pemuda Pusat. Usia 64 tahun bukanlah alasan untuk bermalasan dan memberikan alasan, itulah kekanda saya, ustaz ABC. Saya tertampar malu jika berada bersamanya, dalam apa jua kondisi, tak mampu menandingi semangat juang yang tersepuh puluhan tahun.
Ustaz Abu Bakar Chik adalah antara pengasas Maahad Darul Quran Rusila pada tahun 1985, bersama Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Harun Taib, Ustaz Awang Nasruddin Abj Bakar, Ustaz Hussein Awang dan menjadi sebuah sekolah kader terbesar PAS. Beliau juga terlibat mengasaskan Darul Taqwa kuala Nerus, sekolah rendah Islam di bawah Dewan Ulama Terengganu. Kecintaan almarhum kepada dunia pendidikan menyebabkan jamaah memberikan amanah beberapa penggal kepadanya untuk mempengerusikan Lujnah Pendidikan PAS Pusat.
Almarhum begitu sinonim dengan demonstrasi kebangkitan rakyat, bermandi tembakan air kimia FRU dan disiram gas pemedih mata, beliau tak lelah menyemangati anak -anak muda, bahkan program terakhirnya ialah bersama ARC, sebelum menghembuskan nafas terakhir iaitu bersama anak muda Islam di Selangor. Generasi pemuda PAS di era beliau ialah yang paling cemerlang , menjuarai isu ummah, menjadi pendesak yang berkesan, mencetak kader-kader dakwah PAS dalam dan luar negara, membina jaringan sivil sebagai jambatan PAS dengan masyarakat serta meletakkan pendidikan sebagai tunjang utama gerakan.
Terlalu banyak yang perlu saya coretkan untuk sosok pejuang yang merupakan murabbi, kekanda, teman baik saya ini, namun saya mengejar masa untuk menziarahi jenazah almarhum di Terengganu. Sejujurnya , Dato Abu Bakar adalah sumber inspirasi yang tak pernah malap, sehingga kami generasi pemuda Islam dekad 90an, menggelarkannya secara diam "alfatihah",kerana almarhum pantang berkumpul lebih tiga orang, akan terus membuka majlis dengan ummul kitab. Maknanya kami akan terus bermesyuarat untuk merancang pelbagai program jamaah Islam tercinta ini. Alfatihah buat maestro perjuangan , kami akan terus menyambung legasi perjuangan Islam ini sehingga nafas terakhir.

Tuesday, May 20, 2014

DAMAILAH KAU DI SANA YA MURABBI

Ayahanda Ustaz Abdul Ghani bin Abdul Rahman
20hb April 1945
Hari ini, genap usia abah ke 69. Allah berikan abah usia yang hebat. Antara manusia yg saya sentiasa jadikan ukuran, sandaran, rujukan dan kawan.
Abah pula berpencak di pentas dakwah pada usianya 15thn dan pernah memenangi Johan dan Peserta Terbaik dalam Pertandingan Syarahan Peringkat Negeri Kelantan, mengalahkan sahabat2 seangkatan seperti Dr. Mahmood Zuhdi, Dato Taib Azamuddin dan ramai lagi sewaktu di Nilam Puri era 60 an.
Allah berikan abah kekuatan utk melangkah jauh ke Bumi Mesir dan sekali lagi diamanahkan menjadi Presiden PMRAM sewaktu pergolakan besar dalam krisis kepimpinan dan kenegerian PMRAM dahulu. Abah mengambil alih tampuk kepimpinan PMRAM pada tahun 1980 bersama Al Marhum Tuan Guru Dato' Haron Taib. Alhamdulillah, persatuan itu hebat dan gah sehingga kini.
Antara jasanya yang terakhir bersama kepimpinan PAS Melaka apabila membawa PAS Melaka ke arah kegemilangan...hanya orang sezamannya yg tahu. Alhamdulillah, kini Melaka punya ADUN kelahiran sulung walaupun abah sudah meninggalkan kerusi Pesuruhjaya...
Kini... abah hanya dipimpin anak2, isteri2 tersayang dan sentiasa dibawa pergi mencuci darah. Moga Allah membersihkan seluruh dosa dan khilaf abah di dunia dan moga abah pergi nanti bagai bayi dilahirkan. Namun... semangat dan istiqamah tidak pernah luntur dari jiwa abah. Biar bertongkat, abah tetap nak solat berjemaah...
Kami... sentiasa doakan yg terbaik buat abah. Tiada galang gantinya. Moga abah tetap istiqamah dan sentiasa bertaqwa kepada Allah. Moga Allah gantikan kesakitan hari ini...dengan nikmat syurgaNya yang hebat.
Salam sayang buat abah.
Semoga usia yg bertambah ini dengan keberkatanNya
Semoga dalam perlindungan Allah SWT.
Anakandamu,
AMIR MUTTAKIN AB GHANI
Hayyu Asyir, Kaherah

PAS KAWASAN TEMPA SEJARAH BELI BANGUNAN 2 TINGKAT

Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang akan merasmikan Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil yang baru pada 12 Jun ini. Majlis perasmian akan berlangsung pada jam 5.00 hingga 6.45 petang.

Pejabat ini terletak di sebuah bangunan yang dibeli oleh PAS Kawasan Bukit Katil tahun lepas. Bahagian bawah bangunan disewakan kepada seorang peniaga hardware. Lokasinya ialah Taman Desa Molek, Pekan Ayer Molek.

Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil, Sofi Wahab berkata pejabat ini menjadi One Stop Centre untuk penduduk setempat menyuarakan apa juga masalah dan cadangan tentang isu-isu berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

"Insya Allah kami akan cuba membantu rakyat dalam apa juga isu demi kesejahteraan mereka" ujarnya ringkas.

Pejabat ini beroperasi setiap hari dan boleh dihubungi di talian 06-293 3982 atau 019-6821318. Email : bukitkatil@gmail.com dan fan page http://www.facebook.com/PasBukitKatil.

Monday, April 21, 2014

KENANGAN LAMA .....

Gambar saf kepimpinan PAS yang sedang bermesyuarat pada tahun 1977.

Dari kiri Allahyarham Ustaz Hj Hassan Shukri, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato Haji Mustafa Ali, Dr Daeng Sanusi Mariok, Allahyarham Dato Asri Muda.

PESAWAT MAS ROSAK : TAHNIAH KEPADA JURUTERBANG PESAWAT MH192

PAS Kawasan Bukit Katil mengucapkan tahniah kepada juruterbang pesawat MH192 atas kejayaannya mendaratkan pesawat tersebut dengan selamat awal pagi ini. 

Yang Dipertuanya, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata kecekapan pesawat itu dengan kehendak Allah berjaya menyelamatkan nyawa penumpang dan anak kapal tanpa sebarang kecederaan.

"Bagi pihak PAS Kawasan, kita semua bersyukur dengan kejayaan ini dan mengharapkan masalah-masalah seperti ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan" ujar beliau dalam satu kenyataan pagi ini.

Bernama melaporkan awal pagi tadi bahawa Penerbangan Malaysia Airlines yang menuju ke Bangalore, India, hari ini berpatah balik selepas mengalami kerosakan gear dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KL.


Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melalui Twitternya berkata penerbangan itu membuat pendaratan cemas pada pukul 1.56 pagI dan semua penumpang serta anak kapal selamat.
    
Beliau dalam perjalanan ke KLIA.

Penerbangan MH192 berlepas dari KLIA pada pukul 10.09 malam tadi dengan 159 penumpang dan tujuh anak kapal, bagaimanapun pada 12.40 tengah malam, ia menghantar tweet sedang berpatah balik.

Dalam kenyataan media pada pukul 1.35 pagi, MAS berkata gear mendarat sebelah kanan pesawat itu rosak semasa berlepas dan pesawat itu dijangka membuat pendaratan cemas pada pukul 2 pagi.

"Penerbangan MH192, yang menggunakan pesawat B737-800, dijadual tiba di Bangalore pada pukul 11.35 malam hari yang sama (semalam).  

"Penerbangan itu membawa sejumlah 166 orang termasuk 159 penumpang dan tujuh anak kapal," menurut MAS.    

Insiden itu menarik perhatian global terutama daripada pengguna Internet yang memberi reaksi kepada tweet MAS berkenaan.

Kejadian penerbangan MAS berpatah balik ini berlaku tidak berapa lama daripada kejadian kehilangan penerbangan MAS Kuala Lumpur-Beijing MH370, pada 8 Mac. Penerbangan itu juga dilaporkan telah cuba berpatah balik.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu, hilang daripada radar kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam ketika berada di Laut China Selatan. Ia dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama, 8 Mac.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian selepas diketahui kapal terbang itu melencong dari laluan, misi mencari digerakkan di sepanjang koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand serta koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.    

Berikutan analisis terhadap data satelit yang belum pernah dilakukan sebelum ini, syarikat telekomunikasi satelit United Kingdom Inmarsat dan Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK (AAIB) merumuskan Penerbangan MH370 telah terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi"