Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan isu kalimah Allah yang hebat diperkatakan sekarang adalah strategi politik Umno untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada isu yang sedang melanda negara.
"Isu ini sebenarnya adalah isu politik yang sengaja ditimbulkan oleh Umno sebab itulah kita lihat demontrasi berkenaan isu ini tidak dihalang oleh kerajaan dan Polis"
"Sebaliknya Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri membiarkan demonstrasi dijalankan sedangkan sebelum ini mereka juga yang beriya-iya menyatakan bahawa demonstrasi bukan budaya kita" kata beliau pada ceramah umum anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil dan Cawangan Bukit Katil.
"Senang sahaja kalau kita hendak tahu demo tu anjuran Umno, tandanya ialah bila FRU tiada maka itu sah anjuran Umno"
"Sebab kalau demo itu anjuran Pakatan Rakyat sudah tentu ada road block dan ramai Polis dan FRU berkawal dan menghalang demo itu" tambah Tuan Ibrahim yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Pahang.
Menurutnya strategi serampang dua mata Umno untuk mengalihkan isu dan menarik sokongan Melayu memakan diri sendiri kerana rakyat sudah faham dan matang dalam menangani isu sebegini.
"Umno seolah-olah mahu rakyat bangkit dan mengadakan demonstrasi besar-besaran jadi senang untuk mereka menangkap sesiapa sahaja disumbat di dalam ISA".
"Namun kita lihat demo tersebut tidak mendapat sambutan kerana rakyat tahu demontrasi tidak dapat selesaikan masalah, jalan terbaik ialah dengan dialog dan perbincangan secara baik dan berhemah" katanya
Menurutnya PAS lebih jauh ke hadapan berbanding Umno dalam isu ini di mana pimpinan PAS sudahpun merintis jalan mengadakan dialog dan perbincangan secara terbuka dengan Paderi-paderi kristian dan mereka menyanjung tinggi tindakan PAS yang jauh lebih terbuka mengiktiraf kebebasan beragama.
Tuan Ibrahim berkata Islam terbukti mengajar penganut supaya menghormati penganut agama lain. Saidina Umar sendiri pernah berpesan kepada panglima tenteranya supaya tidak membunuh kanak-kanak, wanita, paderi-paderi, tidak menebang pokok-pokok dan merosakkan gereja, kuil dan rumah-rumah ibadat golongan bukan Islam semasa peperangan.
Isu kalimah Allah ini mesti dibincangkan secara ilmiah dan berhemah bukannya mengadakan demonstrasi menunjukkan kekuatan masing-masing.
No comments:
Post a Comment