Monday, May 18, 2009

SUKAN PASTI BUKIT KATIL ERATKAN HUBUNGAN PASTI DAN KELUARGA MURID-MURID

Sukan PASTI Kawasan Bukit Katil yang dilangsungkan Sabtu lalu berjaya mengeratkan hubungan seluruh guru-guru PASTI dan keluarga murid-murid PASTI di kawasan tersebut.

Kira-kira 400 ahli keluarga, guru-guru, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan dan murid-murid berkumpul bagi menjayakan program tahunan tersebut yang diadakan di Padang Sekolah Menengah Ar Rahmah, Solok Gaong, Melaka.

Antara acara yang dipertandingkan ialah bolasepak dan bolajaring. Acara ini merupakan acara tahunan yang diadakan bagi memilih pasukan terbaik dan juga mencungkil bakat murid-murid untuk diketengahkan sebagai pemain bagi pasukan PASTI Bukit Katil pada kejohanan PASTI Negeri yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Program, Khairuddin Ismail ketika ditemui menyatakan objektif utama kejohanan ini ialah bagi mngeratkan hubungan silaturrahim diantara Pengurusan PASTI, Guru-Guru dan ahli keluarga murid-murid PASTI.

“Insya Allah program tahunan ini akan diteruskan kerana terbukti ianya dapat mengeratkan jalinan ukhuwwah antara keluarga, guru-guru dan pihak pengurusan PASTI”.

“Banyak manfaat yang diperolehi dari program ini di mana kita dapat melihat bagaimana guru-guru dan keluarga berganding bahu bekerjasama merancang taktik dan strategi pasukan masing-masing bagi membantu pasukan mereka menang”.
Salah seorang ibu yang ditemui Maimun Osman, 40 ketika ditemui melahirkan kegembiraan beliau diatas kejayaan PASTI mendidik murid-muridnya sehingga mereka berjaya dalam akademik, berakhlak mulia dan juga cergas dalam kegiatan sukan.

“PASTI bukan sahaja mempunyai kurikulum bersepadu pra-sekolah yang terbaik malah juga mengatur program ko-kurikulum yang dapat membentuk syaksiah pelajar” ujar Maimun yang juga merupakan seorang pendidik.

Seorang lagi ibu bapa pelajar Azni Osman, 32 melahirkan rasa gembira kerana murid PASTI jauh lebih hebat dari segi akademik dan akhlaq berbanding pelajar-pelajar pra-sekolah lain.

“Sekolah-sekolah tadika lain banyak mengajar murid-muridnya menyanyi dan bermain sedangkan program akademik dan membina syakhsiah agak kurang”

“PASTI terbukti semakin diterima masyarakat walaupun mendapat berbagai tekanan dan penindasan dari kerajaan negeri Melaka” kata Azni yang mempunyai anak yang bersekolah di PASTI Ar Rahmah, Solok Gaong.
Dalam kejohanan tahun ini PASTI Ar Rahmah berjaya menyimpan terus Piala Pusingan Ketua Pemuda untuk acara bolajaring apabila memenanginya buat kali ketiga berturut-turut manakala Naib Johan dimenangi oleh PASTI Seri Jati.

Manakala acara bolasepak dimenangi oleh PASTI Seri Jati yang berjaya mengalahkan PASTI Al Ikhwan pada perlawanan akhir melalui sepakan penalty.

Sementara itu Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Puhat Bedol menyampaikan ucapan perhargaan kepada seluruh guru PASTI di kawasan Bukit Katil sempena sambutan Hari Guru 16 Mei ini.

“Dewan Pemuda amat menghargai sumbangan semua guru-guru PASTI khasnya guru PASTI Bukit Katil yang tidak jemu-jemu mendidik anak-anak kita menjadi insan berguna”.

“Tidak ada kata yang dapat saya tuturkan untuk membalas jasa dan pengorbanan guru-guru PASTI yang sanggup berkorban dan berjihad masa, tenaga dan wang ringgit demi pendidikan anak-anak kita” kata Puhat.

Semua guru-guru telah menerima perhargaan berupa ‘plak’ dari Dewan Pemuda PAS Bukit Katil sempena sambutan hari guru yang diadakan bersama-sama dengan sukan tahunan tersebut.

No comments:

Post a Comment