KUALA LUMPUR: Jika kita berpegang dengan dakwaan pemimpin MCA, Umno telah kalah teruk dan MCA pula menang besar dalam pilihan raya kecil Sungai Limau, Isnin lalu. Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan. “Namun apakah kita boleh percaya kepada dakwaan para pemimpin MCA?” tanya beliau.
Katanya, pemimpin MCA, termasuk Dr. Leong Yong Kong yang disebut-sebut akan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah, telah memberitahu media berbahasa Cina bahawa Barisan Nasional berjaya meraih 75.27% undi kaum Cina, iaitu 892 dari 1,185 undi daripada kaum Cina dan bahawa BN gagal meraih walau satu undi tambahan daripada Melayu dalam pilihanraya kecil tersebut.
Ini, ujarnya bererti terdapat peningkatan 732 undi Cina untuk BN berbanding dalam pilihanraya umum ke-13, memandangkan sebelum ini MCA mendakwa BN mendapat hanya 10% dari 1,600 undi Cina pada 5 Mei 2013, iaitu hanya sekitar 892 hingga 160 undi.
Walaupun BN telah berbelanja lebih RM15 juta, calon Barisan Nasional, Ahmad Sohaimi Lazim hanya berjaya menambah 465 undi untuk BN dalam pilihanraya kecil kali ini berbanding piihanraya umum yang lalu, iaitu 10,985 undi dalam pilihanraya kecil, berbanding 10,520 undi dalam PRU13.
“Jika kita berpegang dengan dakwaan pemimpin MCA yang menyebut bahawa BN mendapat tambahan lebih 732 undi Cina dalam pilihanraya kecil kali ini berbanding PRU13, ertinya BN kehilangan sekurang-kurangnya 267 undi Melayu.
“Apakah ini bermakna dalam pilihanraya kecil Sungai Limau, pihak yang kalah paling teruk adalah Umno dan pemenang paling besar adalah MCA?” tanya Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.
Justeru, beliau menyerahkan kepada para pemimpin Umno dan Barisan Nasional untuk memutuskan sama ada hendak menerima atau tidak analisis MCA ke atas trend pengundian dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerana mungkin ada tafsiran yang lain dalam keadaan tiadanya maklumat terperinci tentang pengundian (memandangkan undi adalah rahsia) dan melihat kepada peratusan pengundi Cina yang rendah di Sungai Limau.
Namun, katanya perkara yang nyata dan jelas adalah pilihanraya kecil Sungai Limau merupakan ujian besar buat PAS dan Pakatan Rakyat serta Umno dan BN enam bulan selepas PRU13.
Tambahnya, ternyata PAS dan Pakatan Rakyat telah menempuh ujian ini dengan baik sehingga mencapai kejayaan penting, apatah lagi mengambil kira faktor politik wang dan pembohongan yang disebarkan sewaktu kempen pilihanraya kecil tersebut.
“PAS dan Pakatan Rakyat perlu meraikan kemenangan dalam pilihanraya kecil Sungai Limau sambil tidak lupa untuk belajar daripada kelemahan yang dilihat dalam pilihanraya kecil ini, agar PAS dan Pakatan Rakyat menjadi lebih kuat dan ampuh untuk menempuh pilihanraya di masa depan, sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar, sama ada untuk memenangi hati pengundi Melayu mahu pun Cina, India, Kadazan atau Iban,” ujarnya lagi. ~harakahdaily
No comments:
Post a Comment