Wednesday, November 18, 2009

AWASI ANAK-ANAK DARI KEGIATAN MAKSIAT

Awasi anak-anak dan saudara anda dari terjerumus ke kancah maksiat seperti pesta seks dan sebagainya. Sudah banyak cerita yang kita dengar dan baca di media tentang kegiatan sebegini.
Terbaru enam penuntut kolej diperdaya oleh lelaki hidung belang dengan dipujuk mengikuti mereka menjalankan kegiatan maksiat tersebut setelah termakan dengan pujuk rayu dan setelah itu diberi dadah dan minum arak.
Bagaikan hilang arah selepas diperdaya dengan madah cinta lelaki-lelaki berkenaan, dengan rela hati penuntut terbabit mengikut kehendak pasangan masing-masing.
Difahamkan, enam penuntut kolej berusia 19 tahun itu tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pasangan, tetapi dengan rela hati berhibur sambil berpesta seks ketika khayal di bawah pengaruh alkohol.
Kegiatan tidak bermoral itu didedahkan Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Rosli Abdul Rahman, yang melancarkan serbuan di sebuah pangsapuri di pusat peranginan dekat Bentong, diketuai Pegawai Operasi, Cif Inspektor M Pirabaharan bersama sepasukan anggota, jam 3 pagi, baru-baru ini.
Hasil serbuan itu, polis menahan enam penuntut perempuan terbabit bersama enam lelaki berusia 20 hingga 22 tahun, ketika mereka sedang menaiki tangga menuju pangsapuri disewa.
Saya mengharap semua keluarga yang mempunyai anak gadis supaya berhati-hati dan sentiasa memantau tingkah laku anak-anak mereka supaya tidak terjerat dengan kegiatan maksiat ini.
Kadang-kadang anak-anak gadis ini pandai berlakon di depan kita tetapi di belakang kita macam-macam yang mereka lakukan.
Sofi Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil