Monday, August 25, 2014

PAS KAWASAN UCAP TAHNIAH PADA PRESIDEN

PAS Kawasan Bukit Katil merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atas perlantikan beliau sebagai Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Dunia baru-baru ini.

Sesungguhnya perlantikan ini merupakan suatu pengiktirafan kepada beliau dan PAS di atas sumbangan yang diberikan kepada dunia Islam dan dunia amnya.

Semoga Tuan Guru terus sihat dan mendapat rahmat dari Allah untuk terus memimpin PAS dan dunia Islam.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil

MESYUARAT AGUNG PAS KAWASAN BUKIT KATIL BERJALAN LANCAR

Bukit Katil : Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bukit Katil kali ke 11 berjalan lancar Sabtu lalu. Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, YB Hj Aminolhuda Hassan yang juga merupakan Adun Parti Yaani.

Dalam ucapan Aminolhuda mengingat ahli PAS supaya sentiasa peka kepada situasi sekeliling bagi memastikan PAS tetap relevan dan berada di mana sahaja.

"Ahli PAS mesti peka, sensitif dan sentiasa bersedia untuk menangani isu-isu rakyat dan membantu mereka."

"Kita juga mesti melaksanakan tugas dengan komited, melakukan perancangan yang baik dan bekerja dalam satu pasukan" ujar beliau.

Aminolhuda juga mengingatkan ahli PAS khususnya di Bukit Baru supaya membantu Adun tunggal PAS iaitu YB Dr Khalid Kassim dengan semaksima mungkin bagi memastikan beliau dapat berperanan dan menjadi model kepada Dun lain.

"YB tidak boleh buat kerja seorang, tak larat, kita semua kena bantu dalam apa segi sekalipun, banyak tugas YB yang memerlukan sokongan dan dokongan kita semua" tambah beliau.

Pada mesyuarat agung kali ini Cawangan Kg Bukit Bayan diisytiharkan sebagai cawangan terbaik. Antara kriteria pemilihan cawangan terbaik ialah berjaya menguruskan PASTI, jumlah keahlian baru yang ramai, ada pejabat atau markas, berjaya mengadakan ceramah, usrah, kuliah, tazkirah, program kebajikan dan sebagainya.

Sementara itu perwakilan dari cawangan-cawangan PAS dalam kawasan Bukit Katil mengucap tahniah kepada panitia mesyuarat agung kerana berjaya menceriakan mesyuarat kali ini dengan pentas yang cantik, suasana yang kondusif, ada beg perwakilan, tanda nama cawangan dan AJK Kawasan, perjalanan yang lancar dan lain-lain.

"Biasalah ada kekurangan di sana-sini kita boleh perbaiki pada masa hadapan" ujar perwakilan dari sebuah cawangan yang tidak mahu namanya disenaraikan.

Mesyuarat agung kali ini diadakan di Kompleks PAS Bukit Katil.

Gambar atas sekali : Saf kepimpinan PAS Kawasan
Gambar tengah : YDP menyampaikan cenderahati kepada perasmi
Gambar bawah sekali : YDP menyampaikan cenderahati kepada pemenang anugerah cawangan terbaik 2013/2014.


Wednesday, August 20, 2014

JEMPUTAN HADIRI MESYUARAT AGUNG PAS BUKIT KATI 23 OGOS

Tuan-puan dijemput untuk menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Bukit Katil pada Sabtu 23 Ogos 2014 jam 9.00 pagi bertempat di Kompleks PAS Bukit Katil. Perasmian oleh Naib Presiden PAS, Dato' Haji Husam Musa.

Insya Allah Dato Husam akan menyampaikan pandangan beliau tentang halatuju PAS dan PR pasca krisis perlantikan MB Selangor yang masih belum berakhir.



Sila sebarkan kepada pencinta politik untuk sama-sama hadir memeriahkan majlis tersebut.

KEMALANGAN MRT : PIHAK BERWAJIB TAK AMBIL IKTIBAR

Projek MRT sekali lagi dilanda masalah yang sangat serius sehingga mengorbankan nyawa. Kali ini kemalangannya amat kronik dan tragis. Kemalangan yang meragut 3 pekerja yang terperangkap di bawah timbunan konkrit di Kota Damansara merupakan kejadian kemalangan yang kedua setelah kemalangan pertama pada bulan Jun lepas. Kemalangan demi kemalangan membuktikan kepada kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena mengenai projek ini. 

Insiden-insiden kemalangan ini berpunca daripada sikap tergesa-gesa Kerajaan Persekutuan dan Jabatan terbabit yang seolah-olah tidak menjalankan kajian terperinci sebelum projek ini dilaksanakan di samping masalah pemantauan dan penguatkuasaan yang meragukan. 

Pihak berwajib kelihatan tidak mengambil iktibar kemalangan yang berlaku pada bulan Jun yang lepas dengan membiarkan kontraktor utama GAMUDA-MMC mengambil tindakan yang agak lembut apabila sekadar memberhentikan sub-kontraktor yang terlibat sahaja.

PAS Kawasan Bukit Katil mendesak Kerajaan Persekutuan untuk segera menghentikan kerja-kerja pembinaan projek  dan ianya tidak boleh disambung semula selagi tiada jaminan ianya selamat. Apa kita ingin memperjudikan nyawa orang awam dan pekerja. 

Pakar-pakar yang bertauliah dan berautoriti mesti diambil bagi menjalankan kajian terperinci tentang aspek-aspek keselamatan dan sebagainya. Kita bimbang peristiwa tragis ini akan berulang lagi. 

Sementara SAMM dalam kenyataannya kepada media menyesali sikap Kerajaan Persekutuan terus berlembut dengan konglomerat GAMUDA-MMC walapun telah beberapa kali insiden-insiden malang berlaku di kawasan pembinaan MRT. Adakah hal ini kerana kontraktor utama projek ini mempunyai pertalian rapat dengan Putrajaya hingga segala kelemahan dan insiden ini hanya dipandang sebelah mata oleh Putrajaya.

"Kegagalan dan siri kemalangan ini juga menunjukkan Menteri Kerja Raya sekarang ini begitu lemah dalam memastikan keselamatan projek-projek prasarana yang sedang dibina di ibu kota ketika ini." ujar Jurucakap SAMM.

Justeru, SAMM Wilayah Persekutuan menyeru Perdana Menteri untuk menggantikan Menteri Kerja Raya dengan seorang individu yang mempunyai ketegasan dan kemampuan dalam memastikan projek-projek prasarana yang sedang dibina tidak menjadi mesin mencabut nyawa pekerja dan orang ramai.

Gambar sekadar hiasan.