Monday, June 13, 2011

Kenyataan Media : PAS Bukit Katil sokong penuh perlantikan Adly

BUKIT KATIL, 13 Jun: PAS Kawasan Bukit Katil mengucap tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka yang baru iaitu Adly Zahari.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Yusof Wahab berkata PAS Kawasan sentiasa komited untuk membantu Pesuruhjaya Negeri Melaka yang bagi memacu perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat di negeri Melaka.

"PAS Kawasan memberikan sokongan penuh atas perlantikan beliau dan percaya Adly berupaya untuk memimpin PAS negeri dengan baik.

"Dengan pengalaman dan karisma yang ada pada beliau saya yakin PAS Melaka akan lebih maju dan mantap berjuang seiring dengan DAP dan PKR di Melaka," kata Yusof.

Semalam Presiden PAS telah mengumumkan bahawa Adly Zahari dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka yang baru menggantikan Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Yusof berkata, dengan tenaga, ilmu dan pengalaman serta kenalan yang ramai, beliau yakin Adly mampu mentadbir dan mengepelai jentera PAS Melaka pada Pilihanraya Umum akan datang dengan lebih baik.

"PAS Bukit Katil sentiasa menyokong penuh sesiapa juga yang dilantik oleh Presiden untuk memimpin PAS Negeri, kita akan bekerja secara berpasukan bagi memimpin PAS Negeri dan Kawasan sebagai persediaan untuk kita menggantikan Umno yang semakin lama semakin tenat," kata Yusof.

Berusia 40 tahun, Adly berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari UTM merupakan bekas Jurutera dan pentadbir beberapa syarikat korporat sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Beliau kini seorang ahli perniagaan yang berjaya. Berasal dari Durian Tunggal Melaka, beristeri dan mempunyai 6 orang cahaya mata.

Pernah diamanahkan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Setiausaha PAS Negeri, AJK Dewan Pemuda PAS Negeri. Sekarang ini beliau juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Beliau merupakan anak muda yang komited kepada perjuangan di mana sebaik sahaja tamat pengajiannya beliau bertugas sepenuh masa di Pejabat Perhubungan PAS Melaka selama beberapa tahun.

Berpengalaman bertugas di bawah beberapa orang Pesuruhjaya antara Ustaz Jalaluddin Abdul Wahid, Haji Omar Baba dan Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman.

Beberapa orang pemimpin kawasan yang ditemui yakin pengalaman dan komitmen beliau kepada PAS selama ini menjadi teras kepimpinan beliau bagi membawa PAS Melaka ke era gemilang pasca Pilihanraya Umum ke 13.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/separator-berita-utama/world/78-negeri-melaka/3768-pas-bukit-katil-ucap-tahniah-pada-adly

No comments:

Post a Comment