Friday, December 13, 2013

Tuduhan Syiah Terhadap Mat Sabu Terlalu Dangkal

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pendedahan Kementerian Dalam Negeri kononnya 'bukti' bagi mengaitkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dengan ajaran Syiah sebagai terlalu dangkal.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, bukti-bukti itu bukan sahaja dangkal, malah jauh sekali untuk mengaitkan Mohamad dengan akidah Syiah.


"Melawat Iran contohnya, ramai orang pergi lawat Iran. Saya sendiri beberapa kali pergi ke sana.

"Adakah orang yang pergi melawat China dikira menganut ajaran Komunis?

"Bagaimana pula dengan Umno yang menjalin hubungan kerjasama dengan Parti Komunis China (CPC), adakah Umno juga Komunis," soal Mustafa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan 'bukti' Mohamad Sabu terlibat ajaran Syiah oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi hari ini.

Antara lain, Abdul Rahim mendakwa Mohamad pernah menggesa supaya umat Islam mencontohi kepimpinan Islam berdasarkan cara Imam Khomeini.


Dakwa beliau lagi, Mohamad juga secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

"Puji khomeini perkara biasa. Saya pun kagum dengan Khomeini sebab pada waktu itu dia selaku ketua negara Islam yang berani berdepan dengan kuasa besar Amerika Syarikat.

"Mengkagumi seseorang adakah kita dianggap berakidah sama dengan orang itu?

"Adakah salah untuk kita mengkagumi Nelson Mandela atas ketegasannya menentang apartheid," soal Mustafa lagi.

Menurut Mustafa, beliau melihat pendedahan oleh KDN hari ini tidak lebih dari usaha terdesak pemimpin Umno untuk memburukkan PAS.

"Saya lihat ini langkah terdesak ( Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) untuk mengelak diri dari tuduhan yang dia lemparkan sebelum ini.

"Kita ingatkan bukti yang mahu didedakan ini sesuatu yang kukuh. Tapi kalau macam ini, memang sangat dangkal," katanya lagi.

Tambah Mustafa, Ahmad Zahid seharusnya berhati-hati delam mengeluarkan kenyataan apatah lagi menuduh tanpa bukti yang kukuh.

"Jangan sampai keceluparan beliau itu memakan diri sendiri," katanya. ~harakahdaily




No comments:

Post a Comment