Thursday, January 9, 2014

Mahkamah Rayuan batal pengharaman Bersih 3.0

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali dan Ketua Cabang PKR Rembau Badrul Hisham Shaharin atau 'Chegubard', hari ini berjaya dalam permohonan mereka untuk mengetepikan Perintah Mahkamah Majistret yang melarang perhimpunan Bersih 3.0 diadakan di Dataran Merdeka pada 28 April 2012.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Linton Albert membuat keputusan itu sebulat suara.

Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk David Wong Dak Wah dan Datuk Seri Zakaria Sam.

Linton memaklumkan mahkamah akan memberi alasan penghakiman pada tarikh lain.

Peguam S.N Nair, yang mewakili Chegubard, memaklumkan pemberita bahawa susulan keputusan itu pembelaan akan meminta Jabatan Peguam Negara menggugurkan kesemua pertuduhan berhubung perhimpunan berkenaan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Mereka (pendakwaan) membuat pertuduhan dengan hanya berdasarkan Perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan itu diadakan.

Kini Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah itu selepas menerima hujah kami iaitu majistret berkenaan gagal mematuhi Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah ketika mengeluarkannya," katanya.

Pada prosiding hari ini, Chegubard turut diwakili peguam utama Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden manakala Mohamed Azmin oleh Datuk C.V Prabakaran.

Sementara itu, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang mengetuai pendakwaan berkata beliau akan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Pada 26 April 2012, Majistret Zaki Asyraf mengeluarkan perintah itu yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka antara 28 April dan 1 Mei 2012 serta memberi amaran agar orang ramai tidak menyertainya.

Chegubard dan Mohamed Azmin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pertuduhan terhadap mereka mengikut Akta Perhimpunan Aman atas alasan perintah itu tidak sah kerana dikeluarkan di luar bidang kuasa Zaki.

Selain Mohamed Azmin dan Chegubard, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder serta Farhan Ibrahim berdepan pertuduhan serupa.

Mereka merupakan kumpulan pertama yang didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman. ~bernama



No comments:

Post a Comment