Monday, October 21, 2013

Pakatan Rakyat Bentang Bajet 2014 Esok

SHAH ALAM: Pakatan Rakyat akan membentangkan belanjawan 2014 di Bangunan Parlimen esok, tiga hari lebih awal daripada pembentangan belanjawan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membentangkan belanjawan kerajaan pada 25 September ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, belanjawan Pakatan akan memberi fokus untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam menghadapi krisis ekonomi negara.

"Untuk belanjawan secara khusus, esok kami akan sampaikan di Dewan Rakyat jam 11 pagi.

"Kerangkanya seperti yang diputuskan, temanya untuk pertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

"Kita menjangka kita akan hadapi krisis dengan hutang meningkat, pelaburan yang berkurangan, harga barang yang meningkat dan beban kepada rakyat juga akan bertambah," kata beliau pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, dekat sini, petang tadi.

Terdahulu, beliau bersama pimpinan Pakatan Rakyat yang lain menyertai bengkel belanjawan Pakatan Rakyat dan mendengar pembentangan daripada pakar dan penganalisis ekonomi.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pembentangan belanjawan BN setiap tahun tidak dirujuk kepada rakyat yang membayar cukai.

Sebaliknya beliau berkata, kerajaan seringkali mengemukakan belanjawan tambahan akibat ketirisan yang berlaku mengakibatkan rakyat menanggung bebannya.

"Sudah tentu dalam pembentangan belanjawan kerajaan boleh mengemukakan beberapa jumlah yang dia mahu dan apa sahaja.

"Perlu disedari bahawa kebocoran sering berlaku berpunca daripada ketirisan, perbelanjaan keselamatan akibat kacau bilau seperti di Lahad Datu kerana salah dasar kerajaan, ketirisan kerana penyelewengan, kerana hutang.

"Seringklai keputusan dibuat oleh eksekutif, bukan legislatif. Sepatutnya dirujuk kepada rakyat yang membayar cukai bukan membebankan rakyat yang membayar cukai," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tambah beliau, peruntukan untuk belanjawan tambahan seringkali di luar dugaan akibat kerajaan boros berbelanja.

"Kami Wakil Rakyat Pakatan menerima pembentangan belanjawan yang sudah siap oleh kerajaan dengan masalah yang akan kita temui di samping masalah yg sedia ada.

"Akan berlaku lagi bajet tambahan di tengah jalan dengan peruntukan di luar dugaan menunjukkan kelemahan yang berulang," tegasnya.

Dialog isu ekonomi, perbalahan kaum dan jenayah.

Sementara itu, Anwar mengingatkan Najib dan pimpinan BN yang lain agar kembali menumpukan perhatian kepada pentadbiran selepas selesai Perhimpunan Agung Umno.

"Selepas selesainya Perhimpunan Agung Umno maka kita usulkan supaya Perdana Menteri dan pimpinan BN tumpu kepada tadbir negara, urus ekonomi dan menangani isu besar yang menyentuh kepentingan rakyat yang telah terabai sekian lama sejak pilihan raya Mei lalu," katanya.

Justeru Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengulangi hasrat PR untuk mengadakan dialog dengan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat termasuk isu perbalahan kaum dan agama yang semakin serius.

"Maka kami mengulangi hasrat mengadakan perbincangan dan dialog dengan pimpinan kerajaan BN bersama pimpinan PR dalam isu ekonomi, isu hangatnya perbalahan kaum dan agama, meningkatnya kadar jenayah, isu pengurusan kerajaan, rasuah dan laporan audit negara," katanya lagi.

Turut bersama pada sidang media ialah Penasihat DAP Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, Senator Syed Husin Ali dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak. ~harakahdaily




No comments:

Post a Comment