Wednesday, August 20, 2014

KEMALANGAN MRT : PIHAK BERWAJIB TAK AMBIL IKTIBAR

Projek MRT sekali lagi dilanda masalah yang sangat serius sehingga mengorbankan nyawa. Kali ini kemalangannya amat kronik dan tragis. Kemalangan yang meragut 3 pekerja yang terperangkap di bawah timbunan konkrit di Kota Damansara merupakan kejadian kemalangan yang kedua setelah kemalangan pertama pada bulan Jun lepas. Kemalangan demi kemalangan membuktikan kepada kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena mengenai projek ini. 

Insiden-insiden kemalangan ini berpunca daripada sikap tergesa-gesa Kerajaan Persekutuan dan Jabatan terbabit yang seolah-olah tidak menjalankan kajian terperinci sebelum projek ini dilaksanakan di samping masalah pemantauan dan penguatkuasaan yang meragukan. 

Pihak berwajib kelihatan tidak mengambil iktibar kemalangan yang berlaku pada bulan Jun yang lepas dengan membiarkan kontraktor utama GAMUDA-MMC mengambil tindakan yang agak lembut apabila sekadar memberhentikan sub-kontraktor yang terlibat sahaja.

PAS Kawasan Bukit Katil mendesak Kerajaan Persekutuan untuk segera menghentikan kerja-kerja pembinaan projek  dan ianya tidak boleh disambung semula selagi tiada jaminan ianya selamat. Apa kita ingin memperjudikan nyawa orang awam dan pekerja. 

Pakar-pakar yang bertauliah dan berautoriti mesti diambil bagi menjalankan kajian terperinci tentang aspek-aspek keselamatan dan sebagainya. Kita bimbang peristiwa tragis ini akan berulang lagi. 

Sementara SAMM dalam kenyataannya kepada media menyesali sikap Kerajaan Persekutuan terus berlembut dengan konglomerat GAMUDA-MMC walapun telah beberapa kali insiden-insiden malang berlaku di kawasan pembinaan MRT. Adakah hal ini kerana kontraktor utama projek ini mempunyai pertalian rapat dengan Putrajaya hingga segala kelemahan dan insiden ini hanya dipandang sebelah mata oleh Putrajaya.

"Kegagalan dan siri kemalangan ini juga menunjukkan Menteri Kerja Raya sekarang ini begitu lemah dalam memastikan keselamatan projek-projek prasarana yang sedang dibina di ibu kota ketika ini." ujar Jurucakap SAMM.

Justeru, SAMM Wilayah Persekutuan menyeru Perdana Menteri untuk menggantikan Menteri Kerja Raya dengan seorang individu yang mempunyai ketegasan dan kemampuan dalam memastikan projek-projek prasarana yang sedang dibina tidak menjadi mesin mencabut nyawa pekerja dan orang ramai.

Gambar sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment