Thursday, November 14, 2013

Isu Gani: Tubuh tribunal siasat dakwaan Mat Zain

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa satu tibunal khas dibentuk oleh kerajaan bagi menyiasat pendedahan yang dilakukan oleh Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap salah laku Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Jelasnya perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh kerajaan kerana ia melibatkan individu yang menguruskan sebuah organisasi yang mengawal sistem perundangan negara.

"Saya gesa agar kerajaan bertindak segera untuk menubuhkan satu tribunal khas bagi menyiasat Peguan Negara berhubung pendedahan yang dilakukan oleh Mat Zain.

"Perkara ini amat penting kerana kita tidak mahu sebuah badan yang mengamalkan sistem perundangan negara dicemari dengan salah laku sedemikian," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau lagi, kelewatan kerajaan menubuh tribunal tersebut akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada kredibiliti Jabatan Peguam Negara.

"Setiap aduan yang dilakukan perlu disiasat dan bukan dibiarkan sedemikian rupa.

"Kita tidak mahu sikap diam diri kerajaan terhadap aduan yang dilakukan itu menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kredibiliti Jabatan Peguam Negara.

"Imej in perlu dipulih dan jika laporan tersebut benar, tindakan tegas perlu diambil," sambung beliau.

Datuk Mat Zain Ibrahim sebelum ini mendedahkan tuduhan salah laku Gani Patail selepas kerajaan gagal untuk bertindak terhadap akuan bersumpah (SD) bekas polis kanan itu yang mengandungi sejumlah aduan terhadap Peguam Negara.

Salinan SD yang difailkan pada 7 Oktober itu dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Peguamcara Negara, Datuk Idris Harun dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. ~harakahdaily




No comments:

Post a Comment