Wednesday, November 6, 2013

Sg Limau: Potensi PAS tawan semula Kedah PRU14

Pilihanraya kecil N.20 Sg Limau sudah melabuh tirainya. Kedua dua jentera parti bertanding 'all out' berkempen dalam usaha mencapai misi masing masing. PAS dengan motto Kekal Kemenangan dan BN dengan slogan Berani Berhijrah. 

Kemuncaknya, PAS berjaya mengekalkan kemenangan walaupun dengan majoriti yang merosot, namun bagi percubaan pertama oleh seorang anak muda, bagi saya ia satu pencapaian yang sangat baik kerana jentera PAS bukan hanya berhadapan jentera BN, tetapi jentera kerajaan yang dimanipulasi oleh kerajaan BN.

Kita pula jangan lupa, perlawanan padang yang tidak rata sebeginilah yang mencabul semangat demokrasi yang dilaung-laungkan oleh parti pemerintah. Setiap kali berhadapan pilihanraya umum dan kecil, pasti jentera kerajaan akan dikerah tanpa rela untuk memenangkan parti pemerintah sehingga jutaan kantung Negara dikikis. Jika pada PRK N.01 Kuala Besut sebanyak RM476juta dilaburkan (jumlah tertinggi dicatatkan dalam sejarah PRK), PRK N.20 Sg Limau tidak kurangnya, apabila lebih kurang RM15juta dilaburkan dengan ‘gula-gula’ pilihanraya oleh jentera kerajaan samada melalui projek pembangunan dan pinjaman modal kepada usahawan tani melalui MARA, TEKUN, Agrobank dan sebagainya. 

Usaha sebegini murni jika diberi sebelum PRK, tetapi menjadi ‘gula-gula’ dan ‘umpan’ apabila diumumkan semasa kempen rancak berlangsung. Dimana integriti dan semangat demokrasi parti pemerintah? Adakah di Parlimen dan dihadapan rakyat berdegar-degar laungkan mendukung demokrasi tetapi dari segi pelaksanaan tidak langsung ambil peduli? Sangat retorik.

Kempen Mukhriz tidak berjaya

Dari segi strategi kempen, mana-mana lokasi di Sg Limau meriah dan penuh dengan orang ramai samada orang tempatan dan orang luar yang membantu jentera masing masing sebagaimana pilihan raya-pilihan raya kecil yang lepas. Kreativiti kedua-dua parti dalam berkempen juga menghangatkan lagi suasana yang sedia panas cuacanya daripada pagi hingga ke petang. Cuma hujan kadang kala pada lewat petang hingga ke malam hari, namun sambutan tetap meriah di sekitar Sg Limau. 

Selepas penamaan calon, tidak banyak poster, banner, bendera dan bunting calon dilihat, namun ia semakin rancak dipasang, digantung dan dipacak oleh jentera masing-masing selepas beberapa hari kempen. Bunting dan poster Mukhriz Mahathir selaku MB Kedah tidak juga banyak kelihatan digantung di merata tempat sehinggakan ramai yang agak keliru, siapakah yang bertanding sebenarnya? Gambar profil dan imej Mukhriz yang kelihatan warak, berjubah dan berkopiah, seolah-olah menjadi pertaruhan jentera BN bagi menawan hati pengundi Sg Limau yang sinonim dengan kehidupan Islamik. Maka, slogan Berani Berhijrah dipertaruhkan oleh BN bagi menampakkan imej Islam bagi menambat pengundi. 

Namun, BN terlupa bahawa sekarang dunia di hujung jari. Informasi mudah diperoleh hanya dengan menyentuh papan telefon pintar sahaja. Masyarakat Sg Limau boleh menilai yang mana permata dan yang mana kaca. Mereka tidak susah hendak menduga dan mengetahui adakah imej Mukhriz kali ini hanya topeng semata-mata. Siapa tidak tahu yang ahli keluarga Mukhriz yang memiliki saham dalam syarikat arak terkemuka, San Miguel di Filipina? Siapa yang tidak tahu yang ahli keluarga Mukhriz yang lantang melaungkan kebebasan hak asasi bagi golongan LGBT melalui Seksualiti Merdeka? Apakah layak dikategorikan keluarga Mukhriz sesuai dengan imej warak yang ditonjolkan? Pastinya penduduk Sg Limau tidak mudah tertipu dengan imej tempelan sedemikian. 

Calon PAS, Ust Mohd Azam pula memperoleh kredit sangat besar dengan penampilan pemuda yang benar-benar berpegang pada ajaran Islam dalam erti kata sebenar. Tidak perlu dihurai panjang kepada masyarakat Sg Limau kerana mereka sinonim dengan keluarga Ust Azam yang soleh dan taat pada agama. 

Ketika mana ceramah pengisytiharan calon PAS di Sg Limau Dalam oleh Tuan Guru Presiden PAS, audiens yang hadir sudah menjangkakan Ust Azam akan bertanding dan raut wajah mereka ceria tanda puas setelah mendengar pengumuman itu.




Ini menjadikan para pengundi menyenangi imej serta perwatakan beliau yang semula jadi Islamik dan tidak bermuka-muka. Walau pun demikian, tidaklah dikesampingkan calon, Dr Sohaimi dalam soal imej ini, tetapi strategi kempen BN lebih ke arah menonjolkan imej “Islamik” Mukhriz berbanding calon bertanding. Nyata, Mukhriz gagal menambat undi dengan strategi ini, malah memberi kelebihan pada PAS yang sentiasa tidak lari dengan imej Islamik.

Selain itu, ceramah-ceramah kelompok yang dianjurkan oleh Pas tetap mendapat sambutan walaupun hujan renyai-renyai membasahi bumi Sg Limau dengan menampilkan pimpinan-pimpinan kanan Pas yang turut padang bagi memastikan kemenangan Pas kekal di Sg Limau setelah dipertahankan oleh Al Marhum Tan Sri Ust Azizan selama 5 penggal berturut-turut. Prestasi yang amat jarang diperoleh melainkan wakil rakyat tersebut merupakan tokoh yang cukup disegani dan dihormati oleh lawan dan kawan. 

Namun, ceramah BN kelihatan hambar melainkan dengan menambah nilai kepada ceramah mereka dengan pengisytiharan projek dan peruntukan untuk menarik ramai audien hadir. Karnival Rakyat dianjurkan tiga hari berturut-turut dengan menawarkan barangan konsumer serendah RM1. Gula, tepung, minyak masak, serbuk pencuci kain dan lain-lain barangan dijual harga murah bagi memancing perhatian pengundi. Ditambah dengan kehadiran artis-artis popular bagi menambat kehadiran pengundi. 

Tanpa sedar, ini menampakkan kelemahan BN kerana mereka lupa jika ‘umpan’ terlalu banyak, pengundi boleh membayangkan ada udang disebalik mee. Umpama ikan dalam kolam akan terkejut jika banyak umpan diberi oleh pemancing. Pasti ikan akan keliru dan berhati-hati memilih umpan untuk disambar. 

Justeru, kelihatan pengundi Sg Limau lebih berwaspada dengan janji-janji yang boleh diragui dan secara mengejut subsidi gula ditarik. Penarikan subsidi ini memberi kesan psikologi mendalam bagi masyarakat luar Bandar kerana gula merupakan perkara asas dalam kehidupan mereka. Jika harga gula meningkat, pelbagai barangan berkaitan akan meningkat seperti air minuman dan makanan seperti kuih-muih. Ini menjejaskan budaya “sembang kedai kopi” yang menjadi aktiviti harian bagi penduduk kampung.

Selain itu, penarikan subsidi gula disaat kempen sedang berlangsung menampakkan Mukhriz disabotaj dan di’anaktiri’ oleh PM Najib Razak. Mengapa tidak menarik subsidi selepas PRK berakhir? Adakah ini cubaan sabotaj kepada Mukhriz? Peruntukan projek dan bantuan mee segera juga tidak banyak apabila hanya memperoleh sekitar RM15 juta sahaja berbanding Kuala Besut menjangkau setengah billion ringgit! Walhal kerusi DUN N.01 tersebut BN menang selesa pada PRU-13 dengan majoriti lebih 2,000 undi. Mengapa pelaburan besar di Kuala Besut tetapi tidak di Sg. Limau? Pastinya, Mukhriz tidak selesa dan panas punggung menerima kegagalan ketiga beliau kali ini.

Tawan kembali Kedah 

Jika dilihat kesungguhan dan strategi yang disusun, PAS Kedah berpeluang menawan kembali Kedah pada PRU14 dengan syarat mengekalkan momentum sedia ada. Setiap UPU telah menjalankan tugas yang baik dengan lengkap senarai pengundi yang telah lengkap dicula. Petugas tempatan yang dibantu dengan petugas daripada kawasan dan negeri bantu sangat memainkan peranan yang penting dan bekerjasama dengan baik untuk memastikan kemenangan calon PAS. 

Sudah tidak timbul pergeseran dalaman dan isu-isu yang dimainkan oleh BN dijawab dengan baik walaupun di saat-saat akhir, isu patung Al-marhum Ust Azizan dan pemuda PAS menumbuk Puteri UMNO dimainkan begitu kuat sekali. Namun, jentera PAS yang dikemudi oleh Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, tetap gagah melawan tanggapan negatif yang dilontar BN di media perdana. Pastinya media alternatif dan media sosial banyak membantu jentera PAS dalam meluaskan sebaran maklumat dengan pantas.

Walaupun terdapat penganalisis dan blogger politik mengatakan BN berjaya menafikan majoriti PAS yang lepas, bagi saya ia merupakan kejayaan pada PAS kerana Sg. Limau merupakan percubaan pertama PAS Kedah selepas gagal pertahankan negeri Kedah pada PRU-13. Ini bukti jentera PAS Kedah sudah kembali bangkit dan pulih. Kedua, situasi PRK Sg. Limau dilihat seperti PRK Permatang Pasir yang mana PAS menjadi penyandang sejak 1999. 

Pemergian Al-Marhum Ustaz Hamdan yang menyandang kerusi itu menjadi cabaran besar PAS Pulau Pinang bagi mempertahankan kerusi dibawah Parlimen Permatang Pauh sehinggakan mempertaruhkan Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya Pulau Pinang sebagai calon. Walaupun calon yang diletakkan sudah ‘well-knowned’ di kawasan tersebut, namun PAS hanya memperoleh undi 9,618 undi dengan majority 4,551 undi pada PRK itu berbanding penyandang, Al-Marhum Ustaz Hamdan telah mendapat 11,004 undi dengan majoriti 5,433 undi pada PRU-12. Penurunan yang mendadak majoriti PAS pada PRK Permatang Pasir ketika itu. 

Namun, pada PRU-13 yang lepas, kerusi tersebut telah dipertahankan oleh Ustaz Salleh Man dengan peningkatan majoriti yang mendadak dan ketara iaitu sebanyak 6,826 undi majoriti. Suatu pencapaian yang sangat baik kepada PAS Pulau Pinang kerana hanya 1 ADUN tunggal PAS yang ada di Pulau Pinang!


Situasi sama juga boleh dilihat di DUN Manek Urai apabila pada PRU-12, PAS memenangi majoriti yang selesa iaitu 1,352 majoriti undi melalui calon Ismail Yaacob, namun pada PRK Manek Urai, PAS Kelantan hanya menang dengan 65 undi majoriti melalui calonnya Ustaz Mohd Fauzi Abdullah. Kemenangan yang sangat tipis atas beberapa faktor lain yang ramai melihat PAS Kelantan gagal mengekalkan majoriti dengan lebih selesa, namun tetap mempertahankan kemenangan di Manek Urai. Akan tetapi, pada PRU-13, PAS Kelantan dengan mengekalkan calon yang sama, majoriti kemenangan PAS meningkat mendadak kepada 1,633 undi, melebihi majoriti undi yang diperoleh pada PRU-12. Bagi saya, ia satu pencapaian sangat baik oleh PAS Kelantan di saat ramai penganalisis politik meramalkan Kelantan tumbang pada PRU-13!

Contoh sebegini sangat rapat dengan PRK Sg Limau. Kita juga maklum bahawa, padang pilihanraya kecil dan pilihanraya umum amat berbeza. Jentera BN 100% fokus bagi merampas dengan apa jua cara pada PRK. Para pengundi pun ditinjau meramal perkara yang kerana mereka berkata dengan loghat Kedah, “jika pilihanraya besaq, insyaAllah PAS menang macam biasa tetapi pilihanraya kecik, tak tahu macam mana, depa (BN) bawa turun macam-macam pada kami”. Mereka (pengundi) seolah-olah menjangka impak akan terkesan pada pengundi dengan ‘gula-gula’ dan ‘umpan’ pilihanraya diberikan terutama kepada pengundi atas pagar.

Melihat situasi sebegini, seharusnya kredit dan pujian wajar diberikan kepada PAS Kedah dan seluruh jentera membantu kerana medan PRK sangat mencabar berdasarkan fakta dan hujah diatas, berbanding PRU. PAS telah mengemukakan calon yang paling sesuai dan saya meramalkan pada PRU-14 jika jentera sedia ada masih kekal momentumnya, YB Ustaz Azam akan mengekalkan kemenangan di Sg. Limau dengan majoriti yang lebih selesa. Para pengundi akan mula sedar bahawa pada PRK yang lalu mereka telah di’gula-gula’kan oleh BN apabila situasi PRU tidak menjanjikan projek mee segera dan bantuan ekspress sebagaimana PRK. Pada waktu itu, pengundi atas pagar akan buka mata bahawa BN hanya meng’umpan’ mereka sahaja demi kepentingan politik.

Dan berita paling menggembirakan buat PAS Kedah untuk terus mara dan gagah menyusun langkah menuju PRU14 ialah Mukhriz sekarang menjadi modal dan ‘punching bag’ kerana gagal di percubaan ketiga selepas kalah dalam pemilihan Naib Presiden UMNO yang lalu. Beliau juga gagal dalam usaha merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 2009. Ini jelas, kepimpinannya ditolak bukan sahaja di peringkat parti malah di kalangan masyarakat Kedah terutamanya. Terang lagi bersuluh, beliau hanya mengharapkan populariti ayahandanya untuk kekal di persada politik tanah air. Prestasi beliau sebagai MB Kedah setelah 5 bulan memegang tampuk kuasa juga tidak menunjukkan pencapaian yang membanggakan selain hanya selesa di Wisma Darul Aman.

Peluang-peluang sebegini wajar menjadi ‘lauk kenduri’ kepada PAS Kedah bagi menumbangkan Mukhriz Mahathir dan regim BN pada PRU14 akan datang. Selain itu, strategi dan kemantapan jentera wajib terus dikekalkan dan ditingkatkan momentumnya sehingga menjelang PRU-14 ataupun mungkin pilihanraya-pilihanraya kecil akan datang. Syabas dan tahniah kepada Pesuruhjaya PAS Kedah, jentera Pilihanraya PAS Kedah dan seluruh jentera membantu!



Penulis ialah Penyelidik, Pusat Penyelidikan PAS



No comments:

Post a Comment