Monday, November 11, 2013

Jenayah bunuh: Kerajaan jangan tipu diri sendiri

KUALA LUMPUR: PAS merakam ucapan takziah kepada keluarga Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Mohd Rafli Ab Malik (gambar) yang terkorban dalam kejadian tembakan petang tadi. 

“PAS mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam ini,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, pemergian Mohd Rafli merupakan satu kehilangan seorang pegawai penguatkuasa yang sentiasa tegas dalam menjalankan tugasnya. 

“Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tambahnya, tragedi itu sangat mengerunkan rakyat Malaysia dan amat dikesali dalam keadaan pihak kerajaan menjamin negara dalam keadaan aman. 

Semalam, ujarnya rakyat dikejutkan dengan penculikan Freddie. 

Sebelum ini, seorang pegawai operasi AmBank Norazita Abu Bakar terkorban dalam kejadian rompakan di bank oleh seorang warga asing yang memilik IC palsu.

Baginya, Malaysia sudah semakin tidak selamat tatkala polis dan Kementerian Dalam Negeri masih bermain angka statistik untuk menyakinkan rakyat bahawa negara selamat.

“Peningkatan kadar jenayah berat kini menuntut kerajaan agar meneliti kelemahan ketara dalam kawalan kemasukan senjata api ke negara ini,” ujarnya. 

Katanya, kebanjiran warga asing dalam keadaan tidak terkawal juga menyumbang ke arah ini.

“Rakyat Malaysia kini sudah rasa tidak selamat. 

“Apakah undang-undang dan hukuman serta sistem keadilan yang ada sekarang sudah tidak ditakuti para penjenayah sehinggakan penguatkuasa turut berani dibunuh kerana penjenayah tahu mereka mudah terlepas daripada tuduhan?” tanya beliau

Atau, katanya ketidakcekapan polis dan penguatkuasaan yang lemah menjadi puncanya para penjenayah dan pembunuh semakin berani.

Justeru, ujar beliau kerajaan diseru jangan lagi menipu diri sendiri dan berhenti daripada tidur dalam menangani masalah jenayah yang makin mudarat dan berleluasa di Malaysia. 

“Satu mekanisme penyelesaian perlu dicari segera dan PAS menggesa agar perkara ini menjadi agenda utama negara untuk didebatkan di parlimen yang sedang berlangsung,” ujarnya. ~harakahdaily



No comments:

Post a Comment