Monday, May 31, 2010

CONTOHI KERAJAAN NEGERI PR HARAMKAN JUDI BOLASEPAK

PAS Kawasan Bukit Katil menggesa kerajaan negeri Melaka supaya mencontohi kerajaan Pulau Pinang yang mengharamkan judi bola diniagakan di premis-premis dalam negeri tersebut.

Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang harus dicontohi bagi memastikan kegiatan perjudian bolasepak tidak merosakkan rakyat negeri Melaka.

Rakyat sudah tidak sanggup lagi melihat penagih-penagih judi ini bertambah hanyut dengan kegiatan judi yang telah sedia ada seperti 4D, Magnum, Toto dan lain-lain.

Jika sebuah kerajaan negeri yang dipimpin oleh pemimpin bukan Islam seperti Lim Guan Eng sanggup mengharamkan judi bolasepak, alangkah baiknya kerajaan negeri Melaka pimpinan Ali Rustam juga turut sama mengharamkan judi bolasepak ini.

PAS Kawasan juga mengulangi kekesalan kami di atas tindakan kerajaan pusat meluluskan lesen judi bola yang jelas bertentangan dengan Islam kerana Allah berfirman di dalam Al Qur'an bahawa judi adalah haram.

PAS Kawasan menggesa lesen judi bola dan lain-lain judi tersebut ditarik balik demi kesejahteraan rakyat.

Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membuat keputusan mengharamkan premis-premis di negeri Pulau Pinang menjalankan perniagaan judi bola mengikut Perkara 101 (v) Akta Kerajaan Negeri di mana majlis tempatan diberi kuasa untuk menangani isu-isu mengenai keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan perbandaran.

Dalam perutusan sempena sambutan Hari Wesak semalam, Lim berkata, negeri itu ingin mempromosikan "gayahidup yang lebih sihat dan lebih bertanggung jawab" untuk semua keluarga di Pulau Pinang, dan kerana itu memutuskan untuk melarang kegiatan tersebut.

Khamis lalu, beberapa majlis tempatan di Selangor turut mengambil langkah membekukan pengeluaran lesen premis judi yang menawarkan judi pertaruhan bola sepak.

Ia bermula dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada hari Selasa, dan diikuti oleh Selayang dan Ampang Jaya.

Yusof Wahab
Ketua Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil

No comments:

Post a Comment